SELAMAT DATANG KE BLOG PENGERUSI PENGKRAF NEGERI PAHANG

Pengkraf Negeri Pahang adalah satu badan NGO yang terdiri dari ahli-ahli dikalangan Pengusaha-pengusaha Kraf di dalam Negeri Pahang yang mempunyai halatuju bagi memartabatkan Industri Kraf di Negeri Pahang.

Wan Mohd Adnan bin Wan Abdullah

Wan Mohd Adnan bin Wan Abdullah

Saturday, August 7, 2010

RAYUAN PENGUSAHA KRAF PAHANG

nak mintak
segan...
nak mengadu
tak reti...
nak ditanya
takut...
nak berbincang
sibuk...
nak mengalah
rugi...

apa nak buat...
dah nasib

tak dijaga
hancur...
tak ditegur
bisu...
tak disentuh
lupa...
tak dibuat
miss soro...

aduhai..

Pak long..
nak tolong nengok sikit
kraf Pahang mundur sangat eh..
tak de ke parang tumpul
nak lapah belulang lembu...

Dato' KSN
nak tolong nengok sikit
kraf Pahang mundur sangat eh..
tak de ke getah nangka
nak buat tahan lalat...

PM Dato' Sri Najib
nak tolong nengok sikit
kraf Pahang mundur sangat eh..
tak de ke subsidi
nak bekal pungut tunggul

sedih gamoknye
ke hulu
ke hilir
menyusun nipah
bagi teduh kepala...

pilu gamoknye
nengokkan air
dalam perigi tua
dah keruh semacam
bahang dek kemarau

tolong le nengok eh..


wanmohdadnan/oaag
PENGKRAF PAHANG.
1.46PM.07.08.10. kuantan

TAPI KENAPA INDUSTRI KRAF NEGERI PAHANG MUNDUR??

Industri kraf Negeri Pahang masih terkebelakang dari negeri-negeri lain di Malaysia. Kenapakah ini masih berlaku?

Di dalam penyelidikkan yang dijalankan oleh PENGKRAF PAHANG terhadap isu ini, selain dari kraf TENUN PAHANG yang sekarang ini dibangunkan secara besar-besaran oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Kraftangan Malaysia, bidang-bidang kraf yang lain yang ada pada setiap kategori kraf memang ketinggalan jauh mundurnya. Sebahagian besar Pengusaha-pengusaha kraf yang ada di Negeri Pahang ini mengalami pelbagai kesukaran dan kelesuan dari pelbagai bentuk. Beberapa faktor yang telah dikenalpasti oleh PERSATUAN PENGUSAHA KRAF NEGERI PAHANG (PENGKRAF PAHANG) ialah :-

1. Terlalu kurangnya usaha dari Kerajaan Negeri , kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang terlibat mengkaji, mengenalpasti dan menyediakan pusat-pusat jualan kraf yang strategik untuk digunakan sebagai ruang niaga produk kraf kepada peniaga-peniaga kecil terutama pengusaha kraf. Tiadanya usaha ini mengakibatkan para pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang tidak dapat memasarkan produk-produk mereka secara terus dan borong kepada pelanggan. Dengan tiadanya pusat-pusat jualan kraf ini juga, mengakibatkan pengusaha kraf Negeri Pahang tidak dapat melaksanakan operasi pengeluarannya dengan lebih lancar disebabkan kekurangan momentum pusingan modal. Dan ia juga membantutkan promosi produk-produk kraf Negeri Pahang kepada orang ramai terutama pelancong tempatan dan luar.

2. Terlalu kurangnya bantuan-bantuan yang sepatutnya diberikan kepada pengusaha-pengusaha kraf Negeri Pahang oleh Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan juga agensi Kerajaan yang terlibat. Setelah disemak, hanya sebahagian kecil sahaja dari keseluruhan pengusaha-pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang ini menerima bantuan dari Kerajaan Negeri Pahang melalui pejabat daerah, dari Kraftangan Pahang dan juga agensi Kerajaan yang lainnya. Dan ada bantuan-bantuan ini diterima oleh Pengusaha yang sama sahaja, bukannya secara yang sepatutnya. Dengan dasar amat terpilih inilah yang mengakibatkan sebilangan besar pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang tidak mendapat bantuan yang sepatutnya dan menjadikan industri kraf Negeri Pahang begitu mundur jauh kebelakang dari negeri lain di Pantai Timur.

3. Terlalu kurangnya kerjasama dan sokongan yang baik diperolehi dari Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang berkaitan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PERSATUAN PENGUSAHA KRAF NEGERI PAHANG (PENGKRAF PAHANG) yang sekarang ini mempunyai 60 pengusaha kraf di seluruh Negeri Pahang. Setakat ini, Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang berkaitan MASIH BELUM PUN memberikan sebarang sumbangan kewangan kepada PENGKRAF PAHANG bagi menjalankan aktiviti dan operasi yang dirancangkan. Dengan tiadanya kerjasama dan sokongan ini, usaha PENGKRAF PAHANG bagi melaksanakan rancangan terhadap pembangunan Kraf Negeri Pahang ini banyak yang tergendala. Walaubagaimanapun, setakat ini PENGKRAF PAHANG telah berjaya mengadakan 4 program pameran dan jualan dan salah satunya berperingkat Negeri.Kejayaan ini adalah secara inisiatif sendiri PENGKRAF PAHANG dengan bantuan sektor swasta. Bayangkan, betapa susahnya untuk PENGKRAF PAHANG melaksanakan usaha bagi memartabatkanindustri kraf Negeri Pahang.

4. Terlalu kurangnya usaha dan kerjasama dari Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang terlibat untuk mengadakan pertemuan dengan PENGKRAF PAHANG di dalam bagi bersama-sama mengenalpasti, mengkaji dan mencari kaedah terhadap pembangunan pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang dan juga industri kraf Negeri Pahang ini. Perbincangan secara terbuka patut dilaksanakan secara bulanan antara pengusaha kraf ( pengiat ) dengan agensi Kerajaan Perseketuan dan Negeri yang terlibat dan juga Kerajaan Negeri (kakitangan awam dan pemimpin)ke arah mendapat kesimpulan yang konkrik terhadap pembangunan industri kraf.

5. Terlalu kurangnya lawatan, tinjaun, khidmat nasihat pembangunan dan pantauan yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang berkaitan secara bulanan ataupun tiga bulan sekali ke bengkel/kilang pengusaha-pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang. Dengan tiadanya aktiviti ini, mengakibatkan para pengusaha kraf Negeri Pahang tidak dapat mengetahui maklumat-maklumat terkini yang sepatutnya diketahui dari mereka-mereka yang terlibat. Aktiviti Lawatan hanya diadakan apabila VVIP/VIP hendak mengadakan lawatan sahaja.

6. Terlalu kurangnya usaha dari Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang berkaitan berganding bahu dengan PENGKRAF PAHANG bagi membincangkan dan melaksanakan R&D terhadap sumber-sumber semulajadi yang ada dan terbiar di dalam Negeri Pahang ini untuk dijadikan sebagai bahan mentah separuh siap yang boleh diindustrikan untuk kebaikan pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang dan juga luar Negeri Pahang. Jawapan yang diberikan oleh mereka yang terlibat hanyalah dengan satu perkatan sahaja "PAYAH".

7. Terlalu kurangnya usaha dari Kerajaan Negeri Pahang, Kraftangan Pahang dan agensi Kerajaan yang terlibat di dalam merancang,mengadakan dan memberikan kursus / seminar yang bersangkutan dengan pengurusan, pentadbiran dan kewangan kepada pengusaha-pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang ini bagi menjadikan mereka sebagai pengusaha yang berpegetahuan dan profesional. Keperluan perkara ini adalah disebabkan sebilangan besar pengusaha-pengusaha kraf di dalam Negeri Pahang ini hanya cekap membuat kraf dan begitu kurangnya pengetahuan di dalam pengurusan, pentadbiran dan penjagaan sistem kewangan.

Oleh yang demikian, diminta pihak-pihak yang berkaitan dapat memandang, meneliti, menyemak dan mengkaji terhadap perkara-perkara di atas kenapa industri kraf Negeri Pahang ini MUNDUR... semoga kita dapat bersama-sama berganding bahu, bekerjasama dan sama-sama menyokong terhadap usaha bagi memartabatkan lagi industri kraf Negeri Pahang ini.

Di bawah ini, saya petik satu artikel yang dikeluarkan oleh BERNAMA supaya kita dapat renungkan bersama...


Mengangkasa Warisan Seni Kraf Negara

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana ini ialah mengenai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dan peranannya untuk memelihara serta membangunkan industri kraf negara.

Ini ialah bahagian satu daripada dua bahagian.

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Seni kraf bukan sahaja warisan yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya tetapi sumbangan besarnya kepada pembangunan sosio ekonomi usahawan industri itu.

Bermula hanya sebagai industri desa, seni kemahiran tradisi ini banyak menggunakan hasil rimba termasuk rotan di samping seramik, tekstil (songket dan batik) dan logam seperti tembaga.

Penubuhan Lembaga Kraftangan Malaysia (LKM) pada 1973 ialah langkah terawal kerajaan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berkenaan dan untuk menjaga kepentingan pengusahanya yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk desa.

Status LKM bertukar kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada 1 Okt 1979.

Kraftangan Malaysia ditubuhkan di bawah Akta 222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979 sebagai badan berkanun, ketika itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan Awam.

MELETAK WAWASAN

"Kraftangan Malaysia mempunyai wawasan untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan industri kraf negara, kukuh dan berdaya saing.

"Untuk mencapai wawasan ini, perancangan dan pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan industri kraf akan terus kekal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping menjana sumber pendapatan pengusaha," Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Jalan Conlay di sini baru-baru ini.

Untuk memastikan wawasan itu bukan setakat impian atau igauan, Kraftangan Malaysia meletakkan lima sasaran untuk dicapai sepanjang 2010.

Sasaran berkenaan, mengikut kata Mohd Kamil, ialah meningkatkan kesedaran dan minat terhadap penggunaan kraf tempatan, membangunkan produk berkualiti yang berorientasikan pasaran serta memperluas saiz pasaran produk kraf.

Dua matlamat lain ialah menggalakkan pertumbuhan dan memajukan industri kraf dan menyediakan tenaga terlatih mengikut keperluan industri kraf.

Kraftangan Malaysia juga menyusun enam strategi untuk merealisasikan matlamat-matlamat berkenaan.

Strategi itu ialah membangunkan pasaran domestik dan antarabangsa, membangunkan produk, meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses pembuatan serta menyediakan insentif dan kemudahan untuk pengusaha.

Kraftangan Malaysia juga akan berusaha mengekalkan kraf warisan 1Malaysia di samping menyediakan kemudahan pembelajaran dan prasarana bagi melahirkan tenaga terlatih.

BANYAK PENGALAMAN

Mohd Kamil Mohd Ali boleh dikatakan berpengalaman luas dalam industri kraf negara.

Anak jati Kelantan ini menyandang jawatan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bermula 15 Julai 2009.

Beliau memulakan karier dalam industri kraf apabila berkhidmat dengan LKM pada 1977 sebagai Penolong Pegawai Kemajuan.

Tugasan pertama beliau ialah sebagai pengurus pusat kemajuan kraf Alor Star, Kedah di Alor Star, Kedah pada 2 Jun 1977.

"Tidak ada pejabat sendiri ketika itu dan kami menumpang di bengkel bangunan MADA. Seingatan saya, hasil kraf pertama yang dibuat ialah daripada tanduk kerbau.

"LKM masa itu ialah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan ditubuhkan di bawah Akta Mara," kata Mohd Kamil yang mempunyai kelulusan Diploma Pengajian dan Perniagaan (Kewangan) serta Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran dan Kewangan).

Selepas berkhidmat kira-kira lima tahun di Kedah, beliau kemudian dipindahkan ke Kuala Lumpur pada Januari 1982.

Menurut Mohd Kamil, sebahagian besar daripada pengusaha kraf ketika itu melakukan perusahaan mereka secara separuh masa.

"Pihak LKM berusaha menyakinkan mereka untuk menjadi pengusaha kraf sepenuh masa.

"Sebelum kita boleh ubah pemikiran pengusaha-pengusaha kraf ini, kita kena pastikan produk kraf ada pasaran. Sebab itulah dari semasa ke semasa kita akan memperhebat program promosi kita," demikian kata Mohd Kamil.

KOMITMEN KERAJAAN

Kesungguhan kerajaan untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang diterjemahkan melalui peruntukan yang besar untuk industri kraf.

Mohd Kamil berkata pada 2009, bajet pembangunan yang disalurkan menerusi Kraftangan Malaysia untuk membantu usahawan kraf bernilai RM54 juta.

"Untuk tahun 2010, peruntukan yang diberi kurang sedikit tetapi ini tidak akan menjejaskan usaha dan komitmen kita untuk terus membantu pengusaha kraf," jelasnya.

Jumlah bajet yang besar sebelum ini membolehkan Kraftangan Malaysia menubuhkan pelbagai prasarana, antaranya pusat pembangunan kraf di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sekarang semua negeri sudah mempunyai cawangan Kraftangan Malaysia. Ini untuk memberi khidmat yang lebih berkesan kepada pengusaha-pengusaa kraf.

"Kami ada petugas yang mempunyai pengetahuan teknikal dan bukan teknikal sesuai dengan khidmat yang akan diberikan kepada pengusaha sedia ada dan juga pengusaha baru.

"Antara khidmat petugas ini ialah untuk membangunkan usahawan kraf termasuk dari segi bantuan rekaan yang berorientasikan pasaran," kata Mohd Kamil.

Bantuan serta komitmen kerajaan menjaga kepentingan industri kraf dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penambahan bilangan pengusahanya.

Daripada sekitar 4,000 pengusaha pada 2004, bilangan itu dilaporkan meningkat kepada kira-kira 6,000 orang pada 2009.

"Pihak Kraftangan Malaysia sedang membuat bancian terkini dan menjelang Mac ini kita jangka dapat mengetahui bilangan terkini pengusaha di negara ini," tambah Mohd Kamil.

PELBAGAI BANTUAN

Tidak keterlaluan jika dibuat andaian bahawa pengusaha kraf negara dijaga seperti "menatang minyak yang penuh".

Pelbagai bantuan dihulurkan kepada pengusaha kraf bagi memastikan minat serta kemahiran mereka tidak "luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas".

Bentuk bantuan bagaimanapun berbeza mengikut saiz perusahaan kraf dan menurut Mohd Kamil, bantuan untuk pengusaha kecil lazimnya ialahdari segi menyediakan bengkel, rekaan dan promosi.

Bagi pengusaha besar pula, bantuan lebih difokuskan kepada aspek pemasaran termasuk penyertaan dalam program promosi kerana pihak berkenaan tidak mempunyai masalah dalam kemampuan pengeluaran.

Bagi tahun 2010, Mohd Kamil berkata pihaknya akan terus menyalurkan bantuan dari aspek rekaan, bengkel, mesin/jentera di samping peralatan yang diperlukan bergantung kepada jenis perusahaan kraf.

Di samping itu, Kraftangan Malaysia juga akan mempergiat usaha pemasaran serta promosi untuk meningkatkan permintaan produk logam terutamanya tembaga.

Agensi itu juga berperanan mengenal pasti bahan mentah gantian yang lebih murah agar produk yang dipasarkan mampu dibeli dan meningkatkan penggunaan teknologi terkini dalam proses pembuatan.

ANTARA AKTIVITI UTAMA

Kraftangan Malaysia secara berterusan mengadakan pelbagai program pembangunan untuk membawa usahawan kraf tempatan ke tahap yang lebih berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Satu daripada aktiviti utama di bawah Program Pembangunan Usahawan Krafnya ialah Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Di bawah projek ini, Kraftangan Malaysia setakat ini membangunkan 69 projek berbanding 16 ketika projek ini dimulakan pada 2003. Ia terdiri daripada bidang hasil logam, hasil rimba, seramik dan tekstil.

Antara projek yang dibangunkan ialah tenunan di daerah Pekan, Pahang, batik di Kota Bharu, Kelantan, hasil rimba/ukiran kayu di Temerloh, Pahang dan kraf buluh dan bemban di Serian, Sarawak.

Seramai 691 usahawan kraf berjaya dibangunkan melalui projek SDSI ini dan ia juga memberi peluang pekerjaan kepada 3,165 orang.

"Untuk satu daerah, biasanya kita ada tiga hingga lima pengusaha. Kami akan dari semasa ke semasa mencari usahawan yang berpotensi untuk dimajukan secara lebih bersistematik.

"Pengusaha yang kami cari mesti berdaya maju dan sanggup bersama kita untuk dididik supaya dia boleh maju ke depan dan produk kraf yang dihasilkan mempunyai mutu komersil," jelas Mohd Kamil.

Pejabat negeri Kraftangan Malaysia akan memantau kemajuan pengusaha setiap bulan dari segi tempahan yang diterima juga hasil jualan.

Keperluan pengusaha turut diambil kira yang membabitkan antaranya pengeluaran dan rekaan.

"Untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang, kita perlu kuatkan dari segi pengeluaran juga usaha bersepadu dalam bidang rekaan," kata Mohd Kamil.

INSTITUT KRAF

Di samping mengambil tenaga mahir dari dalam dan luar negara untuk membantu dari aspek meningkatkan kualiti kemasan produk, Kraftangan Malaysia turut membantu melatih kumpulan pekerja bagi kegunaan pengusaha kraf.

Latihan tenaga mahir dan terlatih dalam bidang kraf ini dijalankan di Institut Kraf Negara (IKN) yang terletak di Km 20, Jalan Ipoh-Rawang, Taman Rekreasi Templer.

Penubuhan IKN diluluskan Jemaah Menteri pada Ogos 2001 dan ia kini menjadi pemangkin untuk melatih lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kraf.

Pada masa ini, Institut ini menawarkan Kursus Akademik dan Kemahiran Kraf peringkat Sijil dan Diploma dalam jurusan batik, tenunan, logam, kayu, seramik dan rotan.

Sehingga 31 Dis 2009, seramai 346 orang pelajar peringkat Diploma dan 159 pelajar peringkat Sijil mengikuti pengajian di Institut itu.

Seramai 78 orang pelajar peringkat Sijil dan 120 orang pelajar peringkat Diploma tamat pengajian pada 2009.

SKIM ADIGURU

Sebagai usaha untuk memelihara ketinggian mutu seni kraf negara supaya ia kekal menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat, satu skim diberi nama Adiguru Kraf dimulakan pada 1986.

Skim ini antara inisiatif Kraftangan Malaysia di bawah Program Pemuliharaan Kraf untuk memastikan warisan seni kraf turun temurun ini dapat dikekalkan.

Adiguru Kraf ialah seseorang, baik lelaki atau perempuan yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai tokoh atau master craftsman.

Mereka yang dipilih perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum dinobatkan sebagai Adiguru Kraf.

Antaranya mempunyai pengetahuan serta kemahiran tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.

Kriteria lain ialah beliau memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan dan mempunyai daya kreatif dan inovasi yang tinggi dalam memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang diusahakan.

"Setakat ini, 24 orang pengusaha kraf dipilih untuk Skim Adiguru Kraf. Di bawah program ini juga, tokoh kraf ini boleh melatih dan memindahkan pengetahuannya kepada anak-anak muda yang berlatih dengannya.

"Anak-anak muda inilah yang akan menjadi pewaris kepada bidang kemahiran kraf Adiguru ini.

"Secara tidak langsung, ini juga dapat memperbetul tanggapan sesetengah pihak bahawa pengusaha kraf hanya terdiri daripada warga emas," kata Mohd Kamil.

-- BERNAMA

Saturday, July 17, 2010

GUANE WEH JADI GITU

guane weh jadi gitu....
kg ambo di Pahi jah..
tok ambo gemuloh tok iman gani......
hok duk saing dengan gemuloh tun rozak

olohh...
sero benar jadi lagu tuh....
wakil rakyat ado kei..
dok wat gapo?
orei gedebe pah mano?
kubau lembu hok pawoh pah kewano?

tok kei tak dok bekwoh...
orei tino ramai boleh masok kei
wat jah gulai darat
biar kuwoh berlebih...
wie la pakat raso ramai-ramai

weh loo..
guane weh jadi gitu...

wanmohdadnanwanabdullah
jumaat.28/05/10
oneartist artgallery.YS

CATATAN JEMPUTAN KE HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN PAHANG

Pada 12hb. Julai 2010, jam 10.30 pagi, aku tinggalkan urusan aku di galeri untuk hadhir ke majlis Hari bertemu pelanggan di Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, kg. Pandan, jalan by pass kuantan - kuala trengganu. Aku keseorangan pergi kerana surat jemputan yang aku terima 5 hari sebelumnya hanya ditujukan pada nama aku sahaja, bukan atas nama syarikat aku ataupun pengkraf pahang. Harap-harap ramai kawan-kawan dari persatuan pengusaha kraf Negeri Pahang dapat aku bertemu pada majlis itu.
Aku memandu sendirian menghala ke destinasi dengan memikirkan apakah yang akan aku perolehi pada majlis ini kerana promosinya amat hebat, sehingga 3 hari diiklankan di kaca tv..., aku singgah ke petrol station untuk mengisi minyak kereta aku dan teruskan perjalanan... apabila sahaja aku sampai di pintu masuk bangunan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, aku lihat beberapa khemah kanopi yang telah siap berhias telah menyambut mata aku. Memang beria-ia juga majlis ni..fikir aku. tapi yang menghairankan aku, kenapa tak ramai manusia yang ada? pada masa tu, ada la kurang dari 25 orang manusia yang aku nampak..mungkin awal aku datang kut? fikir aku seketika lalu melihat jam dan terus memandu dan parking di hujung kawasan letak kereta yang teduh.

Selepas meletakkan kereta, aku berjalan perlahan menghampiri khemah kanopi yang berhias untuk majlis Hari Bertemu pelanggan..aku ternampak 2-3 orang berada di sudut hujung bangunan karyaneka, sedang menyiapkan untuk aktiviti batik.. bagus.. terdetik difikiran aku melihat persiapan yang disediakan.

Sambil aku melilau mencari ahli-ahli pengkraf pahang dari beberapa manusia yang berada di bawah khemah kanopi yang disediakan ..aku ternampak mak nortipah tenun, seorang adiguru tenun dari Pulau Keladi duduk keseorang di tepi khemah ..."ohh, mak Nortipah", tegur aku, lalu bersalam bertanya khabar...dari senyumnya aku dapat lihat dia masih sihat dan sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan kraf di Negeri Pahang ini, seperti dia sentiasa hadhir pada mesyuarat agong Pengraf Pahang. Lalu aku menoleh di meja pendaftaran, dan terus aku mohon darinya untuk mendaftarkan diri dulu ke sana. Kelihatan di meja pendaftaran, ada beberapa kakitangan Kraftangan Malaysia Pahang sedang menunggu dan lepak-lepak sesama sendiri...aku ucapkan salam pada semuanya dan bersalam dengan beberapa kakitangan kraftangan lelaki.

Selepas bersalam, aku terus saja ke meja pendaftaran dan salah seorang kakitangan perempuan menyerahkan kertas kehadhiran kepada aku untuk dicatitkan nama, "eh..baru 8 orang pengusaha ke?" tanya aku padanya..senyumnya melirik lembut, lalu aku tulis perkara yang dikehendakinya dan seterusnya menyerahkan balik kertas itu padanya. selepas itu, seorang lagi kakitangan perempuan memberikan satu lagi senaskah kertas kepada aku untuk ditandakan sebagai kajiselidik..ehh..banyak juga aku kena baca dan jawab ni..tak pe lah..fikir aku..

Sedang aku hendak duduk selesa menjawab soalan-soalan kajiselidik yang diserahkan tersebut, aku disapa oleh zie jerantut, pengusaha kraf batik dari Jerantut (juga ahli pengkraf pahang).."apa khabar Cik Wan?"...lalu menoleh aku pada suara itu, "ehh awak zie..bagus le..orang jauh pun datang"..sapa aku kembali.. bagus si zie ni..dari jerantut pun datang memberi sokongan pada aktiviti kraftangan...aku terus mengadap soalan-soalan kaji selidik di depan aku..emm..jawab je lah..yang aku kurang faham aku tanda soal je...harap akan datang boleh pihak kraftangan bagi tahu..fikir aku ketika itu.

Sesudah siap je menjawab soalan kajiselidik tu, aku ternampak pengarah kraftangan pahang sedang asyik bercakap dengan mak Nortipah tenun yang aku jumpa tadi, lalu terus aku perlahan menghampiri dan menyapanya..."Assalamualaikum.." tegur aku padanya, pengarah kraftangan pahang terus menoleh ke arah aku..."ooo..wan", lalu bersalam dengan aku....di masa itu, aku ternampak seorang lagi ahli pengkraf pahang, iaitu satu-satunya pengusaha kraf perak di Pahang. Aku terus menyapa dan bersalam bertanya khabar...senyumnya amat gembira sambil menceritakan dia telah membesarkan lagi perniagaannya..."haaa..ni baru saya nak dengar, ada kemajuan"..sokong aku...

Jam sudah pukul 11.10 minit..di masa itu aku melihat ramai kakitangan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang sedang sibuk untuk siap sedia di bahagian hadapan khemah kanopi bagi memulakan majlis taklimat dari Pengarah Kraftangan Pahang. Sedang aku melihat kerusi-kerusi yang disediakan untuk majlis itu masih banyak yang kosong, aku ternampak Amad Ukir, seorang lagi ahli pengkraf pahang yang aktif sedang berjalan menuju ke meja pendaftaran. hati aku ingin berjumpa dan menyapanya... tapi.. belum sempat aku hendak menyapanya, aku dipanggil oleh seorang pegawai kraftangan untuk duduk di barisan hadapan bersama Pengarah Kraftangan Pahang, kerana majlis taklimat akan bermula...lalu aku mengikut sahaja permintaan itu tanda kerjasama.

Di barisan hadapan, kelihatan ada 2 pegawai kraftangan dan Pengarah kraftangan Pahang sedang selesa duduk..aku mengambil kerusi bersebelahan dengan Pengarah Kraftangan Pahang sambil senyum padanya. " tak ramai pengusaha datang ye?" sapa aku.. lalu dia menoleh lagi ke bahagian belakang...mata aku masih melilau sekeliling dan kelihatan di hadapan aku, terdapat layar putih diletakkan di bahagian khemah kanopi dan mesin slide beserta komputer laptop diletakkan di atas meja...persiapan untuk taklimat. " ajak kak nortipah dok depan ni" ucap pengarah kraftangan pahang pada salah seoarang pegawai kraftangan supaya menjemput mak Nortipah tenun untuk turut bersama di barisan hadapan.."adiguru tu, mesti kena duduk hadapan jugak, adiguru tu"...arahnya lagi.."emm betul tu, panggillah adiguru duduk kat depan jugak" sokong aku...pada masa itu, beberapa kakitangan kraftangan pahang bergegas mendapatkan mak nortipah...semua mata manusia yang ada pada masa itu menhala ke mak nortipah....dengan segan silu mak Nortipah berjalan menuju ke kerusi barisan hadapan diiringi pegawai kraftangan...sambil melihat mak Nortipah, mata aku masih meninjau kerusi-kerusi yang disediakan di belakang yang masih kosong ..kenapa tak ramai ni? fikir aku lagi..

Jam hampir pukul 11.25 pagi..aku mula risau kerana jam 12.00 nanti aku kena menjemput anak bongsu aku pulang dari tadika..sedang fikiran aku melayang menghitung masa, ternampak aku seorang kakitangan perempuan sebagai pengerusi majlis sedang bercakap di rostrum yang disediakan dihadapan. Seterusnya, dia menjemput Pengarah Kraftangan Pahang untuk menyampaikan taklimat yang ditunggu-tunggu mengikut aturcara majlis itu. Pengarah kraftangan pahang terus ke rostrum untuk memberikan taklimat...taklimat yang disampaikan oleh beliau adalah berkenaan dengan fungsi, peranan, objektif, rangkaian dan jadual aktiviti tahunan kraftangan Malaysia kepada semua pengusaha yang tidak berapa ramai hadhir itu...kerana gambar dan informasi di layar yang ditaklimatkan oleh pengarah kraftangan pahang kurang nampak jelas...aku merasakan pengusaha yang hadhir mendengar taklimat pengarah kraftangan pahang itu hanya dapat mendengar suara sahaja...aku pula memberikan respone yang biasa kerana semua yang diperkatakan oleh Pengarah Kraftang Pahang itu telah aku ketahui maklumatnya dari study aku tentang kraftangan di laman-laman web kraftangan Malaysia dan Negeri2, mungkin juga yang lain telah tahu juga.... itu aku kurang pasti...selepas dalam 15 minit pengarah kraftangan pahang memberikan maklumat, kelihatan 2 buah bas dari IKIP Pahang baru sampai, dan kelihatan di dalamnya penuh pelajar-pelajar IKIP Pahang menoleh-noleh dan bersedia untuk turun, " aaa..nampaknya ada pelawat dari IKIP sampai" celah Pengarah Kraftangan Pahang semasa sesi taklimatnya...semua mata yang ada termasuk aku memandang bas tersebut.. selepas 20 minit memberikan taklimat, Pengarah Kraftangan Pahang mengakhiri taklimatnya, masa itu hatiku sangat lega dan aku melihat jam sudah pukul 11.45 pagi..aku teringat tanggungjawab aku menjemput anak aku di tadika jam 12.00 nanti.

Selepas saja Pengarah Kraftangan duduk kembali disebelah aku, aku disapa oleh pengarah kraftangan pahang " saya baru balik dari KL pagi tadi, program tourism, 3 hari duduk di KL" ceritanya..." aaa ye..saya tahu program tu, ada iklan kat facebook saya" balas aku..."macamana program, ok" tanya aku balik..."sales kurang, kita bagi kerjasama hantar demo je, ramai..tapi program untuk pelancongan" jawab pengarah kraftangan atas soalan aku tadi...lalu aku berborak dan bertanya rancak berkenaan dengan peranan dan kedudukan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dengan pelancongan yang ada di Pahang, kerana ada yang aku keliru.. dan ketika itu aku terdengar pengerusi di rostrum meminta jemputan yang hadhir untuk membuat sebarang aduan dan cadangan...fikiran aku tidak melayan permohonan pengerusi tadi dan masih galak lagi berborak tentang kedudukan agensi-agensi pelancongan Pahang terhadap pembangunan pelancongan di Pahang...

oleh sebab tiada sebarang aduan dan cadangan yang diterima oleh Pengerusi majlis, maka beliau menjemput semua yang hadhir ke jamuan minum pagi..lalu dimasa itu aku dipelawa oleh Pengarah Kraftangan Pahang supaya aku ke jamuan...."err..saya nampak amad ukir tadi..ingat nak jumpa dia dulu.." bagi tahu aku kat Pengarah Kraftangan Pahang kerana aku ingin berjumpa ahli-ahli pengkraf pahang. Apabila saja aku berdiri hendak melilau mencari dibelakang, ternampak aku amad ukir tersenyum terselindung beberapa orang di belakang aku, mungkin didengarnya kata-kata aku tadi, fikir aku...lalu aku memanggilnya ke depan, sementara aku bersama dengan Pengarah Kraftangan Pahang...bersalam aku dan Pengarah Kraftangan Pahang dengan amad kraf sambil bertanya khabar...aku duduk kembali di kerusi bersama amad ukir dan Pengarah Kraftangan Pahang..." Eh..tak ramai usahawan kraf pahang datang ye?, berapa orang je datang..dari 128 orang pengusaha yang berdaftarkan" tanya aku pada Pengarah Kraftangan Pahang..."emmm...Mungkin dapat surat lewat ni...ye la..kita faham..pengusaha banyak kerja nak buat..tapi kita dah hantar surat pada semua usahawan kraf..betul..ada 128 usahawan kraf Pahang" jawab Pengarah Kraftangan Pahang..." tapi kalau macam ni la..saya ralat sangat..saya dapat surat pun 5 hari lepas..tapi yang peliknya di sampul surat tertulis nama saya..biasanya syarikat...tapi..macan ni le..cadangan saya...kita kena buat kerjasama..kalau akan datang kraftangan nak buat program macam ni..bagi tahu persatuan..hantar surat pada persatuan..kita boleh bantu..kita boleh kerahkan ahli-ahli datang..lagipun..untuk pengusaha kraf jugak..sebelum ni setiap program persatuan ramai ahli yang datang...boleh sambil-sambil berjumpa sesama ahli...saya cadang je"...cadang saya pada Pengarah Kraftangan.."nanti kita bincang" jawabnya.."tapi kita dah hantar surat, patutnya mereka datang la..tengok di sebelah petang nanti..program ni sampai pukul 5 petang, kalau mereka tak datang jugak nak buat macam mana, kita dah laksanakan tugas"...ulas beliau lagi..."takpelah kalau macam tu..saya cadang tu untuk nak capai objektif pada taklimat tadi..nak buat macam mana" keluh aku dengan ulasan yang diberikan oleh pengarah kraftangan pahang pada aku tadi. Aku melihat amad kraf bangun tersipu dan terus berjalan perlahan ke bahagian belakang.

Selama 10 minit aku meluangkan masa berborak dengan pelbagai hal dengan Pengarah Kraftangan, aku meminta diri untuk kebelakang meninjau dan mencari ahli pengkraf yang lain....aku melihat jam di tangan hampir pukul 12.00 tengahari..ehh tak boleh jadi ni, aku kena jemput anak aku di tadika, bisik aku...tak sempat aku tinjau yang lain....bisik aku lagi..aku terus bergegas ke kereta aku yang aku parking tadi...cepat-cepat aku membuka pintu kereta dan menghidupkan enjin...ternampak aku pelajar-pelajar IKIP Pahang sedang beratur di meja hidangan untuk mendapatkan jamuan pagi...tak pelah, rezeki mereka..bisik aku lagi...aku terus memandu kereta menuju ke jalan raya menghala ke pusat tadika anak yang menunggu...di kepala aku masih memikirkan kenapa ramai sangat pengusaha kraf di Negeri Pahang tidak bersama-sama hadhir pada majlis JEMPUTAN KE HARI BERTEMU PELANGAN KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN PAHANG dan adakah objektif terhadap pembangunan industri kraf akan tercapai kalau macam ni keadaannya di Negeri Pahang tercinta ini.

Sunday, May 23, 2010

BICARA SEPI PEWARIS KRAF

*Lirikan si pengukir,
mengintai lenggok golek perempuan melayu
yang sudah berubah
dinoda budaya-budaya barat untuk melompat
lupa pada sopan adab
kesian..
berurat dahinya...risau,
tak pe. akan diasah pisau ukirnya

*Lentik si penganyam,
halus jari jemarinya
yang kian galak menganyam daun mengkuang
tanpa bicara...
matanya silau memerhatikan karpet merah
meraikan pejuang melayu terbilang
oh!
tersentak hayalan ke hollywood dan bollywood

*Ketukan si penenun,
tekun mengira benang-benang sutera
dicorak penuh makna istana
tapi...
di hati masih berkenan kain ela dari perancis
ahh!........
ketukan makin jelas, makin laju...

*Lakaran si pencanting
yang lilin panas berasapnya menjadi bunga-bunga indah
menyekat warna-warna hati menjadi pelangi
senyum melirik
tengok di tv, PM berbatik 1 Malaysia
dikeliling peraga-peraganya
eeeee..
gemersik bunyi mata canting
menari-nari di kain sutera china

*berjentik si pandai besi
mengusap luk-luk keris adunan 7 logam
disarung dengan kemuning emas
walau tiada kemenyam untuk diasapkan...
hatinya gundah
melihat lagak hunusan pejuang yang tiada erti
ahhh...
james bond lagi terer

*Lembut si pembentuk labu air
diuli tak pakai tangan
adunan tanah liat belakang rumah,
tekaknya haus..
masih merenung kopi o di bekas plastik
sambil girang melontar dan terjatuh
terteguk ail liur...

*eksportkan saja...
sakat si pengukir perak
si pencucuk manik menjuih songsang
teringatnya buatan China merata di Mydin
berduyung pelayan-pelayan muda
melerik senyum dalam benak
China eksport kat kita! laungnya

*semua bisu seketika
terasa angin dingin berhembus
pusingan kiraan berlegar laju di kepala
menghitung borang-borang aneh
yang mementingkan chop YB.....
semua bisu lagi seketika,

*lalu,
bisik-bisik halus bersuara..
rintahan kamu masih belum pilu
mohon kamu masih belum lengkap
igauan kamu masih belum nyata,
walau onak sudah kamu ranjau bermusim-musim
walau leka menanti jelmaan pari-pari
walau silauan daun-daun emas gugur
tiada petah kamu menjadi dungu
kamu mandikan puteri-puteri dengan limau kasturi
supaya dapat disanggul
dan, terus sikatkan rambutnya
agar ia rapi menawan.

wanadnanwanabdullah
oneartist artgallery
22/05/10.1.27am
PENGKRAF PAHANG

Friday, May 21, 2010

BANGUN PERTIWI!!!!!!

Lihat.......
pentas-pentas wayang teater mimpi
putaran cerita pemain-pemain legam...
memakai kostum-kostum aneh
lagak bagai bayi yang tiada dosa di mukabumi...

hukum alam...skripnya
adegan yang mengamit mimpi dalam belukar

Pertiwi!!!!
pentas perlukan cahaya...
jangan biarkan pentas kaku tiada irama

ayuh!!!

panggil anak-anakmu
dapat diurut betismu yang lenguh berdiri
pentas perlukan kamu..
skrip sudah kabur dibaca...

Pertiwi!!!
bangun!!!
suluh pentas itu...
pentas perlukan cahaya
jadikan ceritanya mengikut yang tercatat...
skripnya biarkan jelas dibaca
moga mimpi pelangi terpancar di setiap arah adegan
yang ada noktahya...

marzidahwizi(oaag)
khas untuk sajak pak yassin ( DI HUJUNG PENTAS TANPA CAHAYA ) sempena ulangtahun kelahiran yang ke 64.
1 am/20.05.10.oneartistartgallery

Thursday, April 8, 2010

Bagaimana untuk mengindustrikan kraf Negeri Pahang?

Aspek penting di dalam bagi memajukan sesuatu projek adalah melihat dulu kepada pelbagai kajian dan pembangunan yang dapat diolah dan dilaksanakan mengikut kapasiti yang ada. Dengan mengetahui kekuatan dan kelemahan yang wujud, sistem pelaksanaan dapat digariskan dan digunapakai tanpa mengabaikan had pada kapasiti yang ada.

Industri kraf Pahang masih lagi mundur..dan bagaimana kita dapat memajukan industri kraf Pahang ini agar dapat setaraf dengan negeri-negeri yang lain di pantai timur? Kita memang jauh kebelakang.

Di dalam Pelan Induk Pengkraf Pahang, 11 perkara objektif untuk mencapai ke arah bagi memartabatkan industri kraf Pahang adalah kepada :

1)Memperbaiki dan Memajukan Usahawan Kraf di Seluruh Negeri Pahang.

2)Mengadakan Perhubungan di antara Kerajaan Negeri dan Pusat dengan Ahli-Ahli Persatuan.

3)Mengumpul dan Menyusun Statistik (perangkaan) Perniagaan yang berkaitan dengan Kraf.

4)Mengadakan Acara/Program Perniagaan dan Pekerjaan Kebajikan untuk Ahli-Ahli.

5)Memberi Bantuan kepada Ahli-Ahli dalam masa mereka menghadapi kesusahan dan mengalami apa-apa kejadian yang menyebabkan mereka menempuh kesusahan dalam Perniagaan mereka.

6)Mengumpul Wang Simpanan untuk digunakan sebagai bantuan bimbingan kepada Ahli-Ahli dan Wang tersebut tidak boleh dijadikan Modal Perniagaan.

7)Memberikan Bantuan Mendapatkan Pinjaman Perniagaan kepada Ahli-Ahli Daripada Kerajaan atau Badan-badan Kewangan yang diiktiraf oleh Kerajaan.

8)Mengadakan Kursus / Seminar Perniagaan yang berhubung dengan Kraf untuk Ahli-Ahli.

9)Mengawal jenis-jenis dan Mutu pembuatan Kraf.

10)Mengadakan bilik bacaan, rujukan dan Perniagaan di dalam dan luar untuk Ahli-Ahli.

11)Berikhtiar Membantu untuk mendapatkan Produk, Bahan-bahan Mentah, ataupun keperluan Ahli-Ahli bagi Perusahaan dan Perniagaan mereka.

Tujuan dan Objektif yang digariskan ini jika diberikan sokongan, bantuan dan kerjasama yang erat kepada Pengkraf Pahang, ia bukan saja dapat membantu pengusaha2 kraf yang ada di Negeri Pahang malah akan dapat membantu Negeri Pahang di dalam membangunkan sektor pelancongan dan juga peluang pekerjaan kepada rakyat di seluruh daerah di dalam Negeri Pahang.

Pengkraf Pahang amat mengalu-alukan kerjasama yang erat dapat dicapai daripada pelbagai sektor seperti :

1. Sektor Pertanian
2. Sektor Perhutanan
3. Sektor Penternakan
4. Sektor Perlombongan
5. Sektor Pendidikan
6. Sektor Korporat

Kerjasama erat diperlukan oleh Pengkraf Pahang pada sektor2 ini ialah, agar sektor2 ini dapat bersama-sama mengupas dan mengkaji terhadap sumber-sumber yang dapat dijadikan untuk bahan mentah, kesedaran ilmiah, penambahbaikan teknologi dan juga pemasaran di dalam industri kraf. Langkah ini akan dapat mewujudkan kelompok persefahaman bagi memartabatkan industri kraf Pahang tercapai.

Di dalam bagi mengindustrikan kraf Negeri Pahang ini juga, peluang pelaburan kepada pelabur luar juga patut diadakan dan disediakan, supaya pelbagai bentuk seperti peruntukkan, kemahiran, teknologi, pengurusan dan pemasaran dapat dilaksanakan mengikut sistem yang terbaik.

Saranan bagi mewujudkan perkampungan kraf di setiap daerah juga adalah salah satu kaedah yang dapat menerapkan informasi, pendidikan, pendedahan kepada umum secara lebih dekat mengenai bentuk industri kraf. Yang amat ketara kini adalah, Negeri Pahang masih lagi belum mempunyai satu pusat khas bagi informasi dan penjualan produk kraf dan seni di daerah-daerah yang ada di dalam Negeri Pahang. Apakah Bangunan-bangunan milik Kerajaan yg terbiar dan kosong tidak diuruskan dibiarkan usang daripada dijadikan sebagai tempat untuk pengusaha-pengusaha kraf melaksanakan halatujunya iaitu Ke Arah Memartabatkan Industri Kraf Negeri Pahang.

Friday, April 2, 2010

Kenapa industri kraf Negeri Pahang mundur??

Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Pahang, manakala Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan satu jawatankuasa yang dipengerusi oleh seorang exco untuk dipertanggungjawabkan dengan bajet yang ada setiap tahun bagi membangunkan industri kraf negeri Pahang ini.

Persoalan yang timbul...kenapa industri kraf negeri Pahang masih lagi mundur? Adakah salah pengusaha yang jumlahnya sedikit ( lebih kurang 150 pengusaha )? Adakah salah rakyat Pahang kerana tidak menunjukkan minat dalam industri ini?

persoalan ini yang sentiasa ditanya saban tahun oleh pencinta seni dan warisan pahang yang rata-ratanya tiada kuasa untuk membangunkan industri ini...

Di dada akhbar, sentiasa ada laporan yang elok tentang usaha2 yang terlibat(yang dibayar gaji dan elaun duit rakyat)dan peruntukkan yang disediakan untuk membangunkan industri kraf ini ( duit rakyat jugak ). Tapi kenapa tak maju jugak..? Adakah pihak2 yang terlibat ini tidak reti apa itu industri kraf?? tidak tahu tentang membangunkan industri kraf?? tidak tahu apa itu produk kraf?? tidak tahu siapa pengusaha kraf yang ada di negeri pahang ini??? adakah kita sudah dapat mengesan kenapa industri kraf negeri Pahang mundur?

Negeri2 lain yang maju di dalam industri kraf, sama macam kita juga..malah negeri pahang ini ada yang lebihnya, iaitu sumber yang ada untuk dijadikan bahan mentah merata2...biarkan bahan itu hancur di telan zaman ...adakah itu sebab?? kurangnya pengusaha kraf mengakibatkan terencatnya pembangunan kraf di negeri pahang ini?? Adakah ini penyebabnya??

Seorang doktor tidak reti untuk menjadi akauntan..realitinya begitu...hakikat..adakah ini penyebabnya???

Tidak perlu di fikirkan semua itu...Tuhan Maha Besar ( ALLAH-HU-AKHBAR)..Dialah yang maha mengetahui...

Yang penting untuk kehadapan..PENGKRAF NEGERI PAHANG sentiasa berusaha untuk mencapai halatuju yang digariskan pada Pelan Induk Pengkraf Pahang..Doakanlah supaya 1 - 2 tahun akan datang..tiada lagi soalan KENAPA INDUSTRI KRAF NEGERI PAHANG MUNDUR???

FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF BAGI HENDAK MEMACU PEMBANGUNAN KRAF PAHANG

Sudah sedia maklum, bahawa jumlah lebih kurang 150 pengusaha kraf ( terlalu sedikit..kenapa? ) merencatkan rancangan bagi membangunkan industri kraf di negeri pahang ini...di dalam bagi memartabatkan industri kraf negeri pahang, langkah bagi menyelidik dan membangunkan (R&D) perlu wujudkan dulu..pengkraf pahang mengambil langkah terkehadapan dari para pemimpin dan ketua jabatan dan agensi kerajaan di dalam negeri pahang menghayun langkah ke arah yang menjadi halatuju tersebut..Di dalam pelan induk pengkraf pahang, telah digariskan 11 matlamat yang perlu dicapai ke arah bagi memartabatkan industri kraf negeri pahang. salah satu daripadanya adalah kepada membuka peluang pelaburan kepada semua GLC dan Korporat bagi melabur kepada mewujudkan industri kraf di negeri pahang..Negeri Pahang mempunyai pelbagai sumber yang senang diperolehi untuk dijadikan bahan mentah produk kraf. Dari analisa rambang, sumber yang boleh diperolehi ini, dapat menampung 15 - 20 tahun operasi industri. Langkah ini akan dapat memberikan penambahan ekonomi setempat malah ia dapat meningkatkan kadar KDNK negeri Pahang.

Thursday, April 1, 2010

persatuan pengusaha kraf negeri pahang

tanggal 29hb. mac 2010, jabatan pendaftar pertubuhan negeri pahang telah meluluskan permohonan pindaan nama persatuan pengusaha kraf kuantan, pahang kepada persatuan pengusaha kraf negeri pahang. dengan kelulusan ini, persatuan akan mengorak langkah terus kepada peringkat perseketuan kearah memartabatkan lagi industri kraf negeri pahang yang kini dipinggirkan oleh pemimpin yang berkenaan pada peringkat negeri pahang. pengkraf pahang telah merekodkan data-data yang berkenaan untuk dibentangkan kepada pihak menteri bagi menyemak semula kenapa tiadanya sokongan dan kaedah yang lebih spesifik dari yang sepatutnya terlibat bagi menjadikan industri kraf pahang dapat maju dan membangunkan ekonomi pengusaha yang ada.
pengkraf pahang juga di dalam rangka untuk mengadakan perjumpaan dengan YAB Perdana Menteri dan isteri bagi membentangkan pelan induk yang telah digariskan oleh pengkraf pahang supaya YAB Perdana Menteri dan isteri sedar apa yg dilakukan oleh mana2 pihak yang berkenaan dengan pembangunan kraf di negeri pahang ini.

Tuesday, December 29, 2009

GALERI KRAF PENGUSAHA-PENGUSAHA KRAF NEGERI PAHANG

Alamat : No. 13, Jalan IM 5/6, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang

E mail : oneartist.artgallery@gmail.com